Wednesday, February 1, 2017

Enakmen Rizab Melayu

PENDAHULUAN

Undang-undang Tanah Rizab Melayu (ERM) mula diperkenalkan pada 1 Januari 1914 apabila Enakmen Rizab Melayu 1913 (ERM 1913) dikuatkuasakan dinegeri-negeri yang dahulunya dikenali dengan nama Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NMB) iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Enakmen Rizab Melayu 1913 ini telah dimansuhkan mulai daripada 15.12.1933 dan digantikan dengan ERM 1933. Pada tahun 1935, ERM 1933 ini telah disemak dan diterbitkan semula sebagai ERM (NMB Bab 142) dan digunakan hingga kehari ini. Negeri-negeri lain kemudiannya turut mewujudkan ERM mereka masing-masing iaitu:-

i)        ERM Kelantan         1930
ii)        ERM Kedah            1931
iii)       ERM Perlis              1935
iv)       ERM Johor              1936
v)       ERM Terengganu    1941

British tidak mengadakan apa-apa ERM di Pulau Pinang, Singapura dan Melaka.

OBJEKTIF RIZAB MELAYU

Terdapat dua objektif utama:-

i)        Menyekat tanah kerajaan di dalam kawasan Rizab Melayu daripada dilupuskan dengan apa cara juapun kepada bukan Melayu
ii)               Menyekat Tanah Pegangan Melayu atau Tanah Rizab Melayu daripada dibuat apa-apa urusniaga persendirian (private dealings) diantara Melayu dan Bukan Melayu

  MATLAMAT

Dengan dua objektif itu adalah diharapkan tanah-tanah kepunyaan Melayu akan berkekalan dikuasai oleh orang Melayu sepanjang zaman.

PENGISYTIHARAN

  Kuasa Pengisytiharan 

Dinegeri-negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang dimana ERM (NMB Bab 142) dipakai, kuasa untuk membuat pengisytiharan terletak pada Menteri Besar dengan kelulusan Raja Dalam Mesyuarat (RDM) [Seksyen 3(1)ERM(NMB 142)]. Di Johor, PTG dengan kelulusan RDM manakala dilain-lain negeri, RDM.

  Tujuan Pengisytiharan:-

i)                 Untuk mewujudkan satu Rizab Melayu
ii)               Untuk membatalkan kawasan Rizab Melayu
iii)       Untuk meminda had atau sempadan mana-mana Rizab Melayu
iii)              Untuk memasukkan mana-mana tanah ke dalam kawasan Rizab Melayu yang ada

Tanah Yang Boleh Diisytiharkan Sebagai Rizab Melayu:-

i)        Tanah Kerajaan (di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai Tanah Persekutuan)
          ii)        Tanah Hutan Simpan
iii)              Tanah Rizab Awam
iv)       Tanah Milik

Syarat-Syarat Pengisytiharan:-

i)                 Tanah yang belum dimajukan (not developed) atau dicucuk tanam (cultivated) sahaja yang boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu. [Perkara 89(2) Perlembagaan Persekutuan]  

ii)               Jika 100 hektar tanah kawasan baru diisytiharkan maka satu kawasan lain yang belum dimajukan atau dicucuktanam seluas 100 hektar juga hendaklah disediakan untuk diberimilik pada orang ramai termasuk Melayu. [Perkara 89(2) Perlembagaan Persekutuan]   

iii)              Jika mana-mana kawasan Rizab Melayu itu dibatalkan sama ada keseluruhan atau sebahagian daripadanya sahaja maka satu kawasan lain di dalam negeri itu yang sama jenis (similar in character) dan sama luasnya dengan kawasan yang dibatalkan itu hendaklah serta merta diisytiharkan sebagai ganti. Tanpa ganti pembatalan itu adalah tidak sah [Perkara 89(3) Perlembagaan Persekutuan] 

iv)       Mana-mana tanah yang dimiliki atau diduduki oleh orang bukan Melayu, atau orang bukan Melayu mempunyai hak atau kepentingan, tidak boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu. [Perkara 89(4) Perlembagaan Persekutuan]

v)       Bagi maksud Enakmen Rizab Melayu Kedah, tanah Bandar atau tanah yang termasuk dalam kawasan “Sanitary Board” tidak boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu [Sek.3(1) ERM Kedah]  

vi)       Di bawah Enakmen Rizab Melayu Terengganu pula hanya tanah Bandar atau tanah pekan sahaja yang boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu [Lihat tafsiran (d) ‘Malay Holding’] 

vii)      Syarat pengisytiharan di para i), ii), iii), iv) dan v) hanya terpakai mulai 31.08.1957. Sebelum itu mana-mana tanah boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu.

Rizab Melayu Kekal Sebagai Rizab Melayu   

Mana-mana kawasan yang telah diisytiharkan sebagai Rizab Melayu hendaklah kekal sebagai Rizab Melayu melainkan ianya diisytiharkan dan diwartakan sebagai batal oleh Menteri Besar di bawah Seksyen 4(I)b, ERM (NMB) Bab 142)

Rizab Orang Asli     

Kawasan dan Rizab Orang Asli tidak boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu. [Seksyen 6(2) dan 7(2) Akta Orang Asli 1954]

TAFSIRAN MELAYU

Peruntukan Perkara 160 Fasal 2 Perlembagaan Persekutuan
“Melayu” ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazimnya bercakap bahasa Melayu,
menurut adat istiadat Melayu dan

i)                 lahir sebelum Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura, atau ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan, atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan atau Singapura; atau
ii)               ia adalah keturunan seseorang tersebut

  Peruntukan Perkara 89 Fasal 6 Perlembagaan Persekutuan:-

i)                 “Melayu” termasuklah seseorang yang disifatkan sebagai seorang Melayu bagi maksud-maksud merizabkan tanah di bawah undang-undang bagi negeri di mana ia bermastautin.
ii)               Undang-undang tanah negeri yang dimaksudkan oleh Perkara 89 Fasal 6 Perlembagaan Persekutuan itu ialah keenam-enam ERM yang berkuatkuasa di Semenanjung Malaysia kini di mana tiap-tiap ERM itu memberikan tafsiran “Melayunya” sendiri.

Takrif Melayu Di Bawah ERM:-

 ERM NMB Bab 142 

“Melayi’ ertinya seorang yang berasal dari mana-mana bangsa “Melayan” yang lazim bertutur dalam bahasa Melayu atau mana-mana bahasa “Malayan” dan menganut Agama Islam.

5.3.2     ERM Kelantan

“Melayu” ertinya seseorang yang berasal dari mana-mana bangsa “Malayan” yang bercakap mana-mana bahasa Malayan dan menganut Agama Muhammad, dan hendaklah termasuk:-


a)              Majlis Agama Islam
b)              Pegawai Pemegang Harta apabila bertindak sebagai Pentadbir atau Pemegang Amanah bagi harta pusaka simati orang Melayu

5.3.3     ERM Kedah  

“Melayu” ertinya seorang yang menganut Agama Islam dan lazim bercakap bahasa Melayu yang sekurang-kurangnya seorang daripada ibu-bapanya adalah bangsa Malayan atau keturunan Arab

5.3.4     ERM Perlis    

“Melayu” ertinya seorang yang berasal dari mana-mana bangsa Malayan atau orang keturunan Arab yang lazim bercakap bahasa Melayu atau mana-mana bahasa Malayan dan menganut Agama Islam.

5.3.5     ERM Johor  

“Melayu” ertinya seorang yang berasal dari Bangsa Melayu atau mana-mana bangsa Malaysia yang lazim bercakap bahasa Malayan dan menganut agama Islam dan ungkapan itu hendaklah disifatkan sebagai termasuk Pihak Berkuasa, Lembaga, Pertubuhan, Persatuan dan syarikat yang ditetapkan dalam Jadual Kedua kepada enakmen ini.

5.3.6     ERM Terengganu  

“Melayu” ertinya seorang yang berasal dari mana-mana bangsa Malayan yang lazim bercakap Melayu atau mana-mana bahasa Malayan dan menganut agama Islam

Rumusan Takrif Melayu

Sebagai rumusan “Melayu” bagi maksud kesemua ERM hendaklah pada masa yang sama mempunyai tiga faktor serentak iaitu:-

i)        hendaklah berketurunan Melayu atau Malayan (kecuali Kedah dan Perlis yang turut mengiktiraf keturunan Arab)
ii)        hendaklah lazim bercakap Melayu atau Malayan
iii)       hendaklah beragama Islam

Walaupun kedua-dua ERM Kedah dan Perlis mengiktiraf mereka yang berketurunan Arab, namun terdapat juga perbezaan diantara ‘Melayu’ Kedah dan ‘Melayu’ Perlis.

 Konsep Malayan

‘Malayan’ dalam konteks perundangan Rizab Melayu merangkumi etnik-etnik Melayu yang terdapat di gugusan kepulauan Melayu seperti Orang Asli, Jawa, Banjar, Minangkabau, Mendeling, Panai, Bangka Hulu, Boyan, Patani dan lain-lain lagi.

 Keraguan

Dalam tiap-tiap ERM ada diperuntukan bahawa jika timbul keraguan untuk membuat kepastian sama ada seseorang itu Melayu atau tidak, maka rujukan hendaklah dibuat kepada Raja Dalam Mesyuarat yang mana keputusannya adalah muktamad dan tidak boleh dikaji semula atau dipinda oleh mana-mana mahkamah.

 Melayu ERM mengatasi Melayu Perlembagaan

Walaupun tafsiran ‘Melayu’ di dalam Perkara 160 Fasal 2 Perlembagaaan Persekutuan kelihatan semacam mengatasi tafsiran ‘Melayu’ di dalam tiap-tiap ERM, namun oleh kerana tafsiran ‘Melayu’ di dalam ERM itu dibuat mengikut peruntukan Perkara 89 Fasal 6 Perlembagaan Persekutuan maka tafsiran ‘MELAYU’ di dalam ERM itu MENGATASI tafsiran ‘Melayu’ di bawah Perkara 160 Fasal 2 Perlembagaan Persekutuan. Melayu bagi maksud Perkara 160 Fasal 2 memberi penekanan kepada adat istiadat, manakala di bawah Perkara 89 Fasal 6 seperti yang diberikan pada tiap-tiap ERM memberi tekanan kepada keturunan.

Lain-lain tafsiran Melayu

Lain-lain bentuk tafsiran Melayu yang diberikan oleh mana-mana undang-undang tidak terpakai bagi maksud ERM.

 Syarikat Melayu

Seksyen 2, ERM (NMB Bab 142) mentafsirkan Melayu sebagai “Melayu” dengan syarat tiga unsur hendaklah ada serentak pada satu masa. Ketiga-tiga itu ialah:-

i)        Syarikat itu hendaklah didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965 iaitu syarikat sendirian berhad.  Syarikat Kerjasama yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat Kerjasama 1946 tidak boleh diambil kira
ii)        Kesemua ahlinya hendaklah Melayu atau syarikat Melayu yang ditafsirkan sebagai ‘Melayu’.
iii)       Ada diperuntukan secara hitam putih di dalam undang-undang tubuhnya bahawa penjualan saham-saham syarikat itu hanya pada Melayu atau syarikat Melayu sahaja.

Kesemua syarikat sendirian berhad yang mempunyai ketiga-tiga ciri di atas, secara automatik ditafsirkan sebagai Melayu.

Begitu juga dengan kedudukan syarikat-syarikat Melayu di Johor yang ditafsirkan sebagai Melayu di bawah seksyen 2 ERM Johor. [Sila lihat Jadual Kedua ERM Johor].

Di Kedah, syarikat sendirian berhad tidak akan menjadi Melayu secara automatik. Syarikat-syarikat secara kes demi kes, terpaksa diisytiharkan sebagai Melayu di bawah seksyen 19 ERM Kedah terlebih dahulu.

Di bawah seksyen 17A ERM Perlis, syarikat-syarikat ditafsirkan sebagai Melayu dan kesemua syarikat berkenaan ada disenaraikan pada Jadual D, ERM Perlis.

Di Kelantan keadaannya lain sekali. Mana-mana syarikat sendirian berhad yang hendak memohon tanah rizab Melayu di Kelantan hendaklah mendapatkan kelulusan daripada Raja Dalam Mesyuarat di bawah seksyen 13A(I)(a) ERM Kelantan terlebih dahulu. Kelulusan yang berasingan perlu didapatkan setiap kali syarikat itu mengemukakan permohonan. Ertinya, jika sesuatu syarikat itu telah mendapat satu kelulusan untuk memohon tanah Rizab Melayu di Tumpat maka satu kelulusan lain perlu didapatkan jika syarikat tersebut bercadang hendak memohon tanah Rizab Melayu di Machang.

Di Terengganu pula wujud satu konsep apa yang dinamakan Syarikat Pegangan Melayu. Disamping tiga syarat yang perlu ada pada Syarikat Melayu di bawah seksyen 2, ERM (NMB Bab 142), Syarikat Pengangan Melayu Terengganu ini perlu ada satu lagi syarat iaitu salah satu daripada objektif penubuhan syarikat Pegangan Melayu itu hendaklah mempunyai kuasa menguruskan tanah Pegangan Melayu. Mana-mana syarikat pegangan Melayu Terengganu yang mempunyai keempat-empat syarat itu disifatkan sebagai Melayu.

      Kedudukan Badan-Badan

Terdapat peruntukan-peruntukan yang menentukan kedudukan yang menentukan kedudukan badan, pertubuhan, persatuan, pertubuhan perbadanan (body corporate) bank dan lain-lain di dalam ERM (NMB Bab 142):-

i)                 Pemberimilikan

Proviso kepada seksyen 7 merujuk kepada badan-badan yang boleh diberimilik tanah kerajaan di dalam kawasan Rizab Melayu. Badan-badan ini disenaraikan pada Jadual Ketiga. Raja Dalam Mesyuarat boleh, dari masa kesemasa, menerusi satu perintah yang disiarkan di dalam Warta Kerajaan Negeri menambah, memotong atau meminda senarai Jadual Ketiga itu.
Perlu diingat bahawa badan-badan ini bukannya Melayu. Mereka hanya mendapat satu keistimewaan sahaja dimana tanah kerajaan atau Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tanah persekutuan, boleh diberimilik kepada mereka. Walaubagaimanapun tanah yang diberimilik pada badan-badan ini disifatkan sebagai Pegangan Melayu dan sebagai Pegangan Melayu tanah ini tidak boleh dipindahmilik, digadai, dipajak atau dilienkan kepada mana-mana bukan Melayu termasuk kepada badan itu sendiri atau lain-lain badan yang sesenarai dengannya.

                    ii)        Gadaian

Kesemua badan-badan yang disenaraikan di bawah Jadual Kedua pula adalah badan-badan yang boleh menerima gadaian tanah Pegangan Melayu. Senarai ini juga boleh ditambah, dipotong dan dipinda oleh Raja Dalam Mesyuarat.
Selain daripada badan-badan yang disenaraikan pada Jadual Kedua itu, gadaian juga boleh diberikan kepada:-

a)       orang Melayu
b)       syarikat Melayu
c)       MB (Perbadanan) bagi negeri yang mana tanah itu terletak; dan
d)       Mana-mana syarikat kerjasama yang diluluskan oleh MB secara am atau secara khusus.

Sekiranya tanah Pegangan Melayu yang digadaikan pada MB (Perbadanan), koperasi atau badan-badan yang termasuk ke dalam Jadual Kedua ini, terpaksa dilelong, maka hanya orang Melayu atau syarikat Melayu sahaja yang boleh membeli atau menangkapnya.

                    iii)       Pajakan

Tanah Pegangan Melayu boleh dipajakan hanya kepada Melayu, Syarikat Melayu dan MB (Perbadanan) sahaja. Ini diperuntukan di bawah seksyen 17(1)(b). Malangnya terdapat juga syarikat bukan Melayu yang telah dan sedang memajak tanah Pegangan Melayu bagi mendirikan stesen minyak dan sebagainya.

                    iv)       Penurunmilikan (Transmission)

Perlu dinyatakan bahawa di Perak, Selangor, Pahang Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Terengganu, Majlis Agama Islam Negeri tidak disifatkan sebagai Melayu. Oleh itu tanah pegangan Melayu tidak boleh diturun milik, diletakhak atau diwakafkan kepada Majlis Agama Islam Negeri. Tanah Pegangan Melayu juga tidak boleh diturunmilik kepada orang-orang Islam bukan Melayu.

PEGANGAN MELAYU

Kecuali sekatan yang berkaitan dengan pelupusan tanah kerajaan atau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, yang terletak di dalam Kawasan Rizab Melayu kepada mana-mana orang bukan Melayu, kesemua bentuk sekatan yang dikenakan oleh ERM (NMB Bab 142), ERM Johor dan ERM Terengganu, memberi tekanan kepada hakmilik Pegangan Melayu. Ertinya, mana-mana hakmilik yang tidak tergolong ke dalam hakmilik Pegangan Melayu masih boleh diurusniagakan dengan bukan Melayu ataupun sekatan yang dikenakan itu tidak terikat sekalipun kawasan tanah bagi hakmilik-hakmilik sedemikian termasuk ke dalam kawasan Rizab Melayu yang diisytiharkan dan diwartakan dengan sempurnanya di bawah peruntukan ketiga-tiga ERM yang berkenaan.

Oleh yang demikian adalah penting bagi kita untuk mengetahui akan konsep Pegangan Melayu itu sendiri dan cara mana ianya dapat dilaksanakan supaya objektif mengadakan sesuatu sekatan itu tercapai sepenuhnya.

Tafsiran

Di bawah seksyen 2, Pegangan Melayu ditafsirkan sebagai termasuk:-

i)        Mana-mana kepentingan berdaftar seorang Melayu sebagai tuanpunya atau tuanpunya bersama bagi mana-mana tanah berimilik yang termasuk ke dalam satu Rizab Melayu yang diisytihar dan diwartakan dengan sempurnanya di bawah ERM (NMB Bab 142); dengan syarat kepentingan berdaftar itu tidak boleh disifatkan sebagai Pegangan Melayu melainkan DHDnya (RDT) didaftarkan dengan satu permintaan dalam Borang A Jadual Pertama yang diperuntukan pada seksyen 6.
[Dengan erti kata yang lain, jika memorial di bawah seksyen 6 itu tidak diendorskan pada DHD yang berkenaan maka hakmilik itu belum lagi menjadi hakmilik Pegangan Melayu. Oleh itu ianya boleh diurusniagakan dengan bukan Melayu kerana sekatan-sekatan yang dikenakan itu tidak berkuatkuasa]

Terdapat satu lagi tafsiran Pegangan Melayu seperti yang diberikan pada (ii)
iii)              Mana-mana kepentingan berdaftar seorang Melayu sebagai tuanpunya atau tuanpunya bersama bagi mana-mana tanah berimilik yang termasuk ke dalam satu Rizab Melayu yang diisytihar dan diwartakan dengan sempurnanya di bawah ERM  1913.

Tafsiran (ii) ini sebenarnya lebih merujuk kepada hakmilik-hakmilik lama di mana kawasan tanahnya terletak di dalam kawasan Rizab Melayu yang diisytiharkan di bawah ERM 1913 dan hakmilik-hakmilik yang didaftarkan di antara 1 Januari 1914 hingga 14 Disember 1933. Pada masa ERM 1913 ini berkuatkuasa dahulu (dari 1.1.1914 hingga 14.12.1933) kesemua hakmilik yang didaftarkan bagi mana-mana Rizab Melayu yang diisytiharkan di bawah ERM 1913 itu bukan merupakan hakmilik Pegangan Melayu. Ianya boleh dikatakan sebagai hakmilik Rizab Melayu sahaja. Sebagai hakmilik Rizab Melayu kesemua sekatan yang dikenakan oleh ERM 1913 itu tetap terikat. Walaubagaimanapun, satu keperluan terpaksa dilakukan terlebih dahulu iaitu pada tiap-tiap hakmilik yang berkenaan hendaklah:-

i)                 ditulis dengan jelasnya
ii)               secara melintang
iii)              di permukaan DHD
iv)              dengan menggunakan dakwat merah
v)               perkataan MALAY RESERVATION

Tanpa penulisan (inscription) perkataan “Malay Reservation” hakmilik sedemikian tidak terikat dengan segala sekatan yang dikenakan oleh ERM 1913 itu dahulu. ERM 1913 telah dimansuhkan mulai daripada 15 Januari 1933. Kesemua kawasan Rizab Melayu yang diisytiharkan dahulu terus menerus wujud. Begitu juga dengan ribuan hakmilik yang didaftarkan di antara 1.1.1914 hingga 14.12.1933 itu masih berkuatkuasa hingga sekarang. Persoalannya, kesemua hakmilik itu tidak berstatuskan Pegangan Melayu.

Mulai 15.12.1933 ERM 193, kemudiannya ERM (NMB Bab 142), telah mentafsirkan kesemua hakmilik Rizab Melayu yang didaftarkan diantara 1.1.1914 hingga 14.12.1933 itu sebagai Pegangan Melayu. Ini dibekalkan di bawah tafsiran (b) kepada Pegangan Melayu yang diberikan pada Seksyen 2, ERM (NMB Bab 142). Perlu diingat bahawa terdapat satu perbezaan yang ketara diantara tafsiran Pegangan Melayu di bawah Seksyen 2(a) dengan 2(b) itu. Di bawah 2(a) endorsan di bawah Seksyen 6 adalah wajib, manakala di bawah 2(b) endorsan itu dikecualikan.
Walaupun ERM 1913 itu telah dibatalkan mulai daripada 15.12.1933 namun kesemua kawasan Rizab Melayu yang telah diisytihar semasa ERM 1913 itu berkuatkuasa dahulu itu terus menerus wujud hingga kehari ini melainkan pengisytiharannya sebagai Rizab Melayu itu telah dibatalkan dengan sempurnanya di bawah Seksyen 3(b) ERM (NMB Bab 142).

 Pengendorsan Pegangan Melayu

  Secara tersurat, terdapat empat situasi dimana Pendaftar dikehendaki mengendorskan satu memorial ke atas mana-mana DHD yang tanahnya terletak di dalam satu Rizab Melayu, tanpa mengambil kira sama ada Rizab Melayu itu diisytiharkan di bawah ERM 1913 yang telah dimansuhkan itu ataupun di bawah ERM (NMB Bab 142). Kempat-empat situasi itu adalah seperti berikut:-


i)                 Seksyen 6(i)

Di bawah seksyen ini hakmilik–hakmilk sudah tersedia didaftarkan manakala kawasan tanahnya belum lagi diisytiharkan sebagai Rizab Melayu. RDM, kini Pihak Berkuasa Negeri (PBN), kemudiannya mengisytiharkan satu Rizab Melayu di mana tanah-tanah yang telah dikeluarkan hakmilik itu termasuk ke dalam kawasan Rizab Melayu yang diisytiharkan itu. Ertinya, tanah-tanah itu telah tersedia diberimilik dan Rizab Melayu itu diisytiharkan kemudian.

Dalam keadaan sedemikian, Pendaftar hendaklah mengendorskan satu memorial ke atas tiap-tiap DHD yang terlibat dengan Pengisytiharan Rizab Melayu itu bagi membolehkan hakmilik-hakmilik berkenaan menjadi hakmilik Pegangan Melayu.

ii)        Seksyen 6(ii)

RDM mengisytiharkan satu kawasan Rizab Melayu. Kemudiannya, PBN meluluskan satu permohonan pemberimilikan kepada seorang Melayu. Di bawah seksyen ini hakmilik sementara yang didaftarkan pada Melayu itu hendaklah diendorskan dengan satu memorial bagi menjadikannya hakmilik Pegangan Melayu. Di sini, Rizab Melayu diisytiharkan dahulu dan hakmilik didaftarkan kemudian.




iii)       Seksyen 6(v)

Seksyen ini menyatakan bahawa pada bila-bila masa Pendaftar menyedari bahawa mana-mana DHD yang tanahnya termasuk ke dalam Kawasan Rizab Melayu yang diisytiharkan di bawah ERM 1913 tetapi hakmiliknya tidak tertulis dengan perkataan “Malay Reservation” . Seperti yang diperuntukan di bawah Seksyen 12 ERM 1913 itu ataupun mana-mana hakmilik yang tanahnya termasuk ke dalam kawasan Rizab Melayu yang diisytiharkan di bawah ERM (NMB Bab 142) belum lagi diendorskan dengan satu memorial, maka Pendaftar hendaklah serta merta mengendorskan satu memorial yang diwajibkan itu bagi membolehkan kedua-kedua kumpulan hakmilik yang disebutkan menjadi Pegangan Melayu.

                    iv)       Seksyen 6(vii)

Sebelum merdeka, tanah kepunyaan bukan Melayu samada sebagai tuanpunya yang tunggal atau sebagai tuanpunya bersama dengan Melayu boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu.

Contohnya terdapat 19 bidang tanah seluas 1982 ekar kepunyaan Boon Siew telah diisytiharkan masuk ke dalam Rizab Melayu Langkawi. Kini pengisytiharan sedemikian tidak dibolehkan lagi kerana dihalang oleh perkara 89 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan.  Jika hakmilik tanah kepunyaan bukan Melayu ini dipindahmilikkan kepada Melayu sama asa kesemua bahagian atau sebahagian daripadanya sahaja, Pendaftar hendaklah serta merta mengendorskan satu memorial bagi membolehkannya menjadi Pegangan Melayu.

Jika selepas hakmilik ini bertukar menjadi Pegangan Melayu dan diantara tuanpunyanya masih terdapat orang bukan Melayu maka orang bukan Melayu tersebut masih bebas untuk membuat apa-apa urusniaga dengan lain-lain bukan Melayu. Tetapi sekali pindahmilik dibuat kepada Melayu maka Melayu berkenaan tidak boleh lagi memindahmilikkannya semula kepada bukan Melayu kerana syer bukan Melayu itu secara automatik menjadi pegangan Melayu iaitu sebaik-sebaik saja pindahmilik kepada Melayu itu didaftarkan.

Disamping 4 situasi tersurat itu terdapat pula situasi yang tersirat dimana memorial perlu juga diendorskan ke atas mana-mana hakmilik yang tanahnya termasuk ke dalam satu kawasan Rizab Melayu.

Hakmilik Sambungan

Jika mana-mana hakmilik Rizab Melayu (Bukan Hakmilik Pegangan Melayu) yang didaftarkan diantara 1.1.1913 hingga 14.12.1933 dimana perkataan “Malay Reservation” telah ditulis dan digantikan dengan hakmilik sambungan maka hakmilik sambungan itu tidak boleh diendorskan dengan satu memorial. Apa yang perlu ialah, perkataan “Malay Reservation” itu hendaklah dicopkan semula secara melintang dengan menggunakan dakwat merah juga.
Tetapi jika selepas 14.12.1933 itu baru disedari bahawa cop “Malay Reservation” itu tidak dibuat dan Pendaftar telah mengendorskannya dengan satu memorial seperti yang diperuntukkan dibawah Seksyen 6(v)(a), dan jika hakmilik seperti ini digantikan dengan hakmilik sambungan maka hakmilik sambungan itu hendaklah diendorskan juga dengan satu memorial dan bukan ditulis dengan “Malay Reservation”.

 Hakmilik Kepunyaan Badan-Badan

Mengikut proviso Seksyen 7, mana-mana tanah yang diberimilik kepada badan-badan yang disenaraikan pada Jadual Ketiga hendaklah disifatkan sebagai hakmilik Pegangan Melayu.
Kalau memorial tidak diendorskan pada hakmilik yang berkenaan sudah pasti akan timbul kekeliruan kerana tidak ada apa-apa tanda yang menunjukkan hakmilik itu adalah hakmilik Pegangan Melayu. Akibatnya, besar kemungkinan hakmilik itu akhirnya terlepas kepada bukan Melayu juga. Oleh itu Pendaftar hendaklah mengendorskan satu memorial ke atas kesemua hakmilik yang didaftarkan atas nama badan-badan yang disenaraikan di bawah Jadual Ketiga ini.

 Pengecualian

Seperti yang disebutkan terdahulu daripada ini tanah kepunyaan bukan Melayu boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu iaitu pada zaman sebelum Merdeka di mana tiada tegahan mengenainya. Tetapi kini, Perkara 89 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan melarang pengisytiharan sedemikan diteruskan. Oleh itu bagi mana-mana tanah kepunyaan bukan Melayu yang:-

i)                 tuanpunya tunggalnya bukannya seorang Melayu; atau
ii)               jika tanah itu dipunyai oleh ramai orang, 10 orang umpamanya, maka tidak seorang juapun daripada yang 10 itu tadi terdiri daripada orang Melayu.

Maka Pendaftar tidak boleh mengendorskan apa-apa memorial untuk menjadikannya satu Pegangan Melayu. Tetapi jika salah seorang daripada yang 10 itu terdiri daripada Melayu, maka memorial hendaklah diendorskan. Pengecualian ini diperuntukan dengan jelasnya pada Seksyen 6(vi)

Prosedur Pengendorsan

Seperti yang diterangkan di para 6.2.1, terdapat empat situasi di mana satu memorial perlu diendorskan pada DHD, kemudian DHK, bagi mana-mana tanah yang termasuk ke dalam satu Rizab Melayu. Dalam keadaan yang dinyatakan di bawah Seksyen 6(i) atau Seksyen 6(ii), Pentadbir Tanah dimana tanah itu ditadbirkan hendaklah mengemukakan kepada pihak berkuasa pendaftaran yang sepatutnya satu permintaan dalam Borang A Jadual Pertama, ERM (NMB Bab 142), meminta beliau mengendorskan satu memorial ke atas DHD yang berkenaan menyatakan kemasukan tanah itu ke dalam satu Rizab Melayu. Dalam keadaan di bawah Seksyen 6(v) dan 6(vii) pihak pendaftaran yang sepatutnya sendiri perlu memulakan tindakan tanpa diberitahu oleh Pentadbir tanah terlebih dahulu.

Borang A ini hendaklah didaftarkan di dalam Buku Perserahan Pelbagai di mana nombor perserahan, jilid dan folionya diberikan. Seperti biasa, Pentadbir Tanah atau Pendaftar Hakmilik, yang mana berkenaan hendaklah menandatangani borang perserahan ini dan kemudiannya dijilidkan untuk simpanan dan rekod. Kemudian pihak pendaftaran yang sepatutnya hendaklah mengecopkan ke atas permukaan DHD yang terbabit. Nombor Perserahan, jlid, folio, nama Rizab Melayu, nombor warta serta tarikhnya hendaklah dicopkan. Pendaftar hendaklah menurunkan tandatangannya di bawah cop ini. Tarikh tandatangan hendaklah sama dengan tarikh perserahan itu didaftarkan.
                   
Perhatikan contoh endorsan yang diberikan di bawah ini

Perserahan Pelbagai No……… Jilid…….. Folio…… Bahawa kawasan tanah bagi hakmilik ini termasuk ke dalam Rizab Melayu…… mengikut Warta Negeri Nombor…….. bertarikh……

…………………….
Pendaftar
                                                            Tarikh:

Walaupun tidak ada peruntukan yang menyatakan mengenai warna dakwat yang digunakan namun sebagai satu keseragaman dan mudah dilihat adalah disyorkan supaya dakwat merah digunakan.

Setelah Pendaftar selesai mengendorskan satu memorial pada DHD yang berkenaan, tindakan berikutnya ialah mengeluarkan Borang B Jadual Pertama kepada tuanpunya berdaftar atau mereka yang menyimpan DHKnya seperti pemegang gadaian, pemegang kaveat lien dan lain-lain supaya menyerahkan DHK yang berkenaan pada Pendaftar supaya memorial yang serupa yang telah diendorskan pada DHD dapat diendorskan juga pada DHK yang berkenaan.

Jika mana-mana kawasan Rizab Melayu telah diisytiharkan batal maka batalkan endorsan yang telah dibuat dengan cara mengeluarkan Borang C Jadual Pertama dan ambil tindakan susulan.

SEKATAN-SEKATAN KEPENTINGAN URUSNIAGA

Undang-undang tanah Rizab Melayu diwujudkan dengan dua objektif utama iaitu:-

i)        melarang tanah kerajaan atau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tanah Persekutuan daripada dilupuskan dengan apa cara sekalipun kepada orang bukan Melayu; dan
ii)        melarang apa-apa urusniaga persendirian (Private Dealings) yang melibatkan hakmilik Pegangan Melayu di antara orang Melayu dan bukan Melayu.

Bagi mencapai maksud kedua-dua objektif itu, ERM (NMB Bab 142) dan lain-lain ERM, memperuntukkan beberapa sekatan.

Pelupusan

Sekatan dari segi pelupusan melibatkan tanah kerajaan atau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Tanah Persekutuan sahaja.

Tanah hutan simpan, rizab awam dan tanah hakmilik tidak terikat. Ini dinyatakan dengan jelasnya ada seksyen 7, ERM (NMB Bab 142). Oleh itu, mana-mana Tanah Kerajaan atau Tanah Persekutuan yang termasuk ke dalam satu Rizab Melayu tidak boleh diberimilik, dikeluarkan TOL atau Permit kepada orang bukan Melayu kecuali diperuntukan sebaliknya seperti yang diberikan kepada proviso Seksyen 7 dimana kesemua badan yang disenaraikan pada Jadual Ketiga boleh diberimilik Tanah Kerajaan atau Tanah Persekutuan yang telah diisytiharkan sebagai kawasan Rizab Melayu. Bagi Tanah Rizab Awam, Tol dan Permit untuk menggali dan mengeluarkan bahan batu batan seperti pasir, laterit  dan sebagainya itu tidak disekat. Permit yang serupa juga boleh dikeluarkan ke atas tanah berimilik.

 Pindahmilik

Tanah Pegangan Melayu tidak boleh dipindahmilik kepada bukan Melayu kecuali pindahmilik bersilang dengan syarat borang-borang pindahmiliknya diserahkan serentak kepada pihak berkuasa pendaftaran yang sepatutnya. Ini dibolehkan dibawah Seksyen 8(ii).

 Gadaian

Gadaian kepada bukan Melayu juga dilarang. Walau bagaimanapun terdapat satu pengecualian dimana ianya boleh dibuat kepada semua kesemua badan-badan yang disenaraikan pada Jadual Kedua, MB (Perbadanan) bagi negeri dimana tanah itu ditadbirkan dan pada mana-mana koperasi yang diluluskan oleh MB. Ini dinyatakan pada Seksyen 17(1)(a). Perlu dinyatakan bahawa jika tanah yang digadaikan kepada mereka yang disebutkan di atas itu terpaksa dilelong maka hanya orang Melayu sahaja boleh membeli atau menangkap lelongan tersebut.

Tanah Pegangan Melayu hanya boleh dipajakan kepada Melayu, Syarikat Melayu yang ditafsirkan sebagai Melayudibawah Seksyen 2 dan kepada MB (Perbadanan) bagi negeri yang berkenaan sahaja. Peruntukan ini diberikan pada Seksyen 17(1)(b).


  Lien

Lien 100% tidak dibenarkan, baik kepada Melayu atah lagi orang bukan  Melayu. Ini dinyatakan dengan jelasnya di bawah Seksyen 10.

SEKATAN-SEKATAN BUKAN URUSNIAGA
Selain daripada sekatan-sekatan yang melibatkan pelupusan dan urusniaga, terdapat lagi beberapa bentuk sekatan yang dikenakan oleh ERM (NMB Bab 142) ini. Diantaranya ialah:-

Kaveat

Menurut Seksyen 11, orang bukan Melayu tidak boleh memasukkan apa-apa kaveat persendirian ataupun kaveat amanah ke atas hakmilik Pegangan Melayu, melainkan orang bukan Melayu itu bertindak sebagai ejen kepada prinsipalnya yang terdiri daripada orang Melayu. Walaubagaimanapun tidak ada sekatan yang dikenakan sekiranya Pendaftar memasukkan satu kaveat Pendaftar ke atas mana-mana Pegangan Melayu.

Bagi kaveat pemegang lien pula, mereka yang disenaraikan pada Jadual Kedua, MB (Perbadanan) dan mana-mana syarikat kerjasama yang diluluskan oleh MB untuk menerima gadaian, boleh memasukkan satu kaveat pemegang lien ke atas mana-mana Pegangan Melayu yang digadaikan kepada mereka. Ini dibenarkan menurut Seksyen 17(1)(a).

 Perletakhakkan

Di bawah Seksyen 12 ada dinyatakan bahawa sekiranya seorang Melayu itu diisytiharkan dengan sempurnya sebagai bankrap, maka tanah Pegangan Melayunya tidak boleh diletakhak kepada Pegawai Pemegang Harta (Official Assignee) DI BAWAH SEKSYEN 24(4) Akta Kebankrapan 1967. Oleh itu jika permohonan dibuat oleh Pegawai Pemegang Harta di bawah Seksyen 349 KTN untuk meletakhak tanah Pegangan Melayu itu kepadanya, permohonan itu hendaklah ditolak. Walaubagaimanapun, Pendaftar boleh memasukkan satu kaveat Pendaftar bagi melindungi kepentingan Kerajaan Persekutuan ke atas tanah Pegangan Melayu itu.

  Penahanan (Attachment)

Mana-mana hakmilik Pegangan Melayu tidak boleh ditahan bagi menyempurnakan satu dekri atau perintah oleh mana-mana Mahkamah sekiranya dekri atau perintah bermaksud untuk diberikan kepada bukan Melayu. Ini diperuntukan di bawah Seksyen 13.

[Perhatian : Sekiranya dekri atau perintah itu diberikan akibat daripada kecuaian atau kesilapan Mahkama, maka Pendaftar hendaklah mendaftarkannya kerana jika tidak didaftarkan, Pendaftar boleh diambil tindakan undang-undang atas alasan menghina Mahkamah. Pendaftar kemudiannya hendaklah membawa perkara ini kepada pengetahuan Penasihat Undang-Undang Negeri untuk tindakan susulan]

Amanah

Mengikut Seksyen 145 orang Melayu tidak boleh mewujudkan apa-apa amanah yang memberi faedah kepada bukan Melayu. Sekatan ini terpakai jika ianya melibatkan hakmilik Pegangan Melayu

Pemberian Probat

Di bawah Seksyen 15, tiada apa jua probat atau ‘letters of administration’ yang melibatkan Pegangan Melayu boleh diberikan kepada bukan Melayu.

Surat Kuasa Wakil

Apa-apa borang urusniaga yang melibatkan hakmilik Pegangan Melayu yang ditandatangani oleh orang bukan Melayu bagi pihak tuanpunya Melayunya dengan menggunakan surat kuasa wakil tidak boleh didaftarkan (Seksyen 9)

RUMUSAN

i)        Seksyen 19 ERM (NMB Bab 142) menyatakan bahawa kesemua urusniaga atau pelupusan atau percubaan untuk membuat apa-apa urusniaga atau pelupusan yang bertentangan dengan sekatan-sekatan yang diperuntukan oleh ERM (NMB Bab 142) adalah terbatal dan tidak sah dan apa-apa sahaja belanja yang telah dikeluarkan itu tidak boleh dituntut dimana-mana Mahkamah.

ii)        Perlu dinyatakan bahawa sekatan-sekatan yang dibekalkan oleh ERM (NMB Bab 142) ini terdapat juga pada lain-lain ERM

iii)       Jika Pentadbir Tanah atau Pendaftar telah melakukan satu kesilapan atau mengambil tindakan yang tidak sepatutnya, seperti membuat memorial ke atas hakmilik kepunyaan bukan Melayu umpamanya, tindakan pembetulan boleh diambil di bawah Seksyen 380 KTN.


iv)       Jika Pentadbir Tanah atau Pendaftar telah mendaftar apa-apa urusniaga ke atas mana-mana tanah Pegangan Melayu dengan cara yang bertentangan dengan peruntukan ERM (NMB Bab 142) seperti tanah Pegangan Melayu dipindahmilik, digadai atau dipajak kepada bukan Melayu atau Tanah Rizab Melayu diberimilik kepada bukan Melayu tindakan hendaklah diambil di bawah Seksyen 419 KTN. Lihat juga Seksyen 340(2)(a) KTN

No comments:

Post a Comment